Type something and hit enter

ads here
On
advertise here
Satu gelas yang setengahnya berisi air. Kemudian saya meminta kawan-kawan menyatakan apa yang mereka lihat. Setelah sejenak berfikir, sambil tersenyum bercampur sedikit ketawa, mereka seolah-olah menyangka mengapa persoalan remeh seperti itu perlu diajukan. Sebahagian daripada mereka menyatakan, "gelas itu separuh kosong" dan sebahagian yang lain mengatakan "gelas itu separuh berisi".

Saya dengan riak muka tersenyum sinis, terus menyindir, "aikk..soalan yang senangpun boleh bercanggah jawapan juga?".

Sememangnya hakikat jawapan kedua-dua respon mengenai gelas yang setengahnya berisi air itu betul. Tetapi apa yang menariknya adalah corak pemikiran kita terhadap realiti keadaan sekeliling. Cuba kita teliti dengan pandangan kedua-dua mereka itu, mereka yang mengatakan "gelas itu separuh kosong" melambangkan cara pandangan yang pesimis, manakala mereka yang melihat gelas itu dan mengatakan "masih ada setengah lagi air dalam gelas itu!" melambangkan corak pemikiran yang optimis.

Dalam aspek kerjaya, contohnya kita sebagai seorang staff pejabat, apabila jam sudah menunjukkan pukul 4.45 petang waktu Malaysia. Setengah orang akan berkata, "Ah, esoklah aku buat. Sekarang dah dekat waktu balik".

Manakala, ada juga orang yang akan berkata, "Baik aku buat kerja sekarang, ada 15 minit lagi. Esok aku boleh buat kerja lain".

Perhatikan, waktu yang sama, tetapi cara kita memandang masa 15 minit itu akan berbeza.

Begitulah juga dalam segenap aspek kehidupan kita, tentang cara bagaimana kita memandang orang lain. Ada orang yang lebih suka menonjolkan sifat negatif kawannya berbanding sifat-sifat positif yang dimilikinya. 
Dengan kata lain, masih ada orang yang lebih suka bercerita tentang "gelas kosong" orang lain berbanding tentang "gelas berisi" orang itu.
Corak-corak pemikiran demikian, mungkin dipengaruhi oleh apa sahaja yang pernah masuk ke dalam fikiran, pembacaan, tontonan, perbincangan, dan juga hasil asuhan sejak kecil. Yang pasti, cara berfikir manusia seperti yang diterangkan tadi tiada hubungan-kait dengan pangkat, jawatan, gelaran yang disandang ataupun kekayaan yang dimiliki, malah ia semata-mata berdasarkan mutu mental dan pemikiran seseorang itu.

Oleh itu, bagaimana "gelas" diri kita? "Gelas" keluarga kita? "Gelas" kawan-kawan kita? "Gelas" kerjaya kita, sekarang?

Semua "gelas-gelas" itu tentunya tidak penuh dan pasti ada bahagian-bahagian yang kosong. Langkah yang paling penting untuk kita melalui keadaan ini dengan lebih berkesan adalah dengan cara mencari makna dan inspirasi daripada sesuatu yang "berisi" itu. Dengannya, kita mampu menghasilkan sesuatu yang kreatif dan mampu melakukan lebih banyak perubahan dalam diri dan seterusnya.

Mafhum daripada satu Hadis Nabi S.A.W bermaksud,"Sekiranya masih ada ditanganmu sebiji tamar di saat kamu sudah berada dihujung hayat. Maka tanamlah biji tamar itu walaupun kamu sudah tidak sempat merasa hasilnya. Tetapi moga-moga orang selepas kamu itu dapat mengambil manfaat daripadanya kelak". - TARBAWI

Click to comment