Umat Islam Ditindas di Negara Sendiri

Rabu, 21 Ogos 2013


Menurut Ibnu Khaldun di dalam “Muqaddimah”-nya, kewujudan empayar merujuk kepada entiti politik yang menyatukan zon budaya yang luas. Terdapat empayar-empayar besar yang muncul atas dasar imperialisme iaitu penaklukan terhadap negara-negara lain, tetapi ada juga empayar-empayar yang gagah berdiri berasaskan kemurnian tamaddun, ilmu dan akhlak sebagaimana empayar yang dipelopori oleh kerajaan Islam dahulu. Melalui empayar, kekuatan tentera dibangunkan, ada empayar yang berkuasa membangunkan tentera bermotifkan penjajahan, ada juga empayar yang membangunkannya demi sebuah kedaulatan.

Kedaulatan wilayah menjadikan sistem ketenteraan sebagai elemen paling penting dalam pengukuhan empayar. Para pemerintah menggunakan tentera untuk mengatasi serangan musuh-musuh luar selain agenda anarkis yang berkait soal pemberontakan dan kacau bilau. Bagi memudahkan tentera mengawal keadaan dalam negara, kota-kota pertahanan, jalan raya dan tembok didirikan. Contohnya pada zaman pemerintahan Maharaja Shih Huang Ti, tembok besar yang dikenali sebagai Tembok Besar China didirikan bagi mengelakkan serangan orang-orang gasar.

Tidak terkecuali, beberapa empayar kerajaan Islam sewaktu dinasti Ayyubiah berlangsung, Salahuddin al-Ayubi pendiri pertamanya itu telah membina beberapa buah qala'ah (kubu) demi menjaga keamanan rakyatnya daripada sebarang serangan dan ancaman musuh. Pembinaan kubu-kubu tersebut diteruskan sehingga di zaman dinasti Mamluk yang terkenal dengan jolokan Mamluk Burji. Fakta-fakta yang telah disebutkan memperlihatkan kekuatan tentera dibangunkan dalam kerangka kedaulatan dan kemakmuran rakyat.

Setiap empayar berlumba-lumba meningkatkan kualiti persenjataan, daripada penggunaan manjanik ketika abad ke-12 Masihi, sehinggalah kepada penggunaan musket (senapang lantak) pada abad ke-15 Masihi. Unit-unit ketenteraan sejak zaman klasiknya dibahagikan kepada beberapa jenis pasukan iaitu tentera bergajah, tentera berkuda, tentera berkereta kuda, tentera berjalan kaki (unit infantri) dan tentera laut (unit armada). Di setiap post-post wilayah pula terdapat komisariat yang menempatkan anggota-anggota pengawal termasuklah kumpulan jassas (pengintip).

Hari ini, perlumbaan evolusioner berhubung dengan bidang ketenteraan semakin berkembang, daripada bambu runcing kepada grenade, daripada peluru lastik kepada automatic rifle, daripada meriam ballistik kepada bom nuklear, laser dan droid, ini kerana mana-mana empayar yang memiliki teknologi terkuat mampu mencipta masa depan bangsa dan negara mereka, menakluk mana-mana wilayah yang lemah, di samping menggerunkan musuh dengan kecanggihan teknologi tentera mereka.

Percayalah evolusi senjata ini semakin hari semakin sofistikated, kerana rata-rata negara yang berkuasa besar tidak mahu mengalah dan ketinggalan dalam memperkuatkan potensi ketenteraan, menjadikan negara mereka dihormati kerana kemampuan teknologi persenjataan yang dimiliki, di samping menjarah wilayah-wilayah yang dianggap strategik di mana falsafah penjajahan ala kekaisaran itu terkandung dalam sebuah ayat;

إِنَّ الْمُلُوكَ إِذَا دَخَلُوا قَرْيَةً أَفْسَدُوهَا وَجَعَلُوا أَعِزَّةَ أَهْلِهَا أَذِلَّةً وَكَذَلِكَ يَفْعَلُونَ
“Sesungguhnya raja-raja (para penguasa), apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itulah mereka akan lakukan.” - an Naml:34

Ketika British memiliki sistem ketenteraan terkuat, mereka menakluk beberapa buah negara. Lebih 60 negara ditakluk dan dijajah oleh British, antaranya Afrika Selatan, Zimbabwe (Rhodesia), India, Tanah Melayu, Borneo dan Australia. Tidak terkecuali juga Belanda, walaupun negaranya kecil, mereka telah membina angkatan tentera yang kuat sehingga berjaya menguasai Melaka, Indonesia, beberapa negara di Afrika dan Suriname. Sepanyol setelah kejatuhan Andalus pula, dengan kekuatan tenteranya menguasai Amerika Latin.

Menjelang Perang Dunia Ke-2, media, filem, tulisan turut memainkan peranan sebagai salah satu senjata pasif versi penjajahan totalitarian (bertujuan menghancurkan identiti dan nilai-nilai masyarakat), terutamanya ketika penguasaan Nazi Jerman yang diketuai Adolf Hitler, yang terkenal dengan “Mein Kampf”-nya. One to many menjadi tema pelancaran perang versi propaganda ini, di mana segala laporan dan info dijenterakan menurut persepsi ciptaan dan manipulasi rekaan untuk menentukan reaksi sosial.

Jepun pula pernah muncul sebagai kuasa Asia melalui kekuatan tentera udaranya, menggugat Pearl Harbour, menakluk Tanah Melayu, sebahagian Indonesia, sebahagian China dan negara-negara yang berada di Lautan Pasifik. Negara Jepun yang tidak begitu besar itu pernah mengalahkan Russia pada tahun 1904-1905, dalam perang Russia-Jepun. Kejayaan Jepun pada waktu itu sekaligus mengangkat martabat negara tersebut sebagai negara yang digeruni barat sehinggalah tragedi pengeboman Hiroshima dan Nagasaki atas arahan Harry S. Truman, Presiden Amerika ke-33 pada tanggal 6 Ogos 1945.

Peristiwa hitam di Jepun menjadikan Amerika kemudiannya digeruni sebagai kuasa besar dunia, selain memiliki persenjataan nuklear, negara tersebut tidak terkecuali membina angkatan perang menyerang Vietnam Selatan, Iraq, Afghanistan, dan mengepalai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dalam menghadapi sebarang ancaman yang boleh menggugat cengkaman penguasaan mereka di wilayah-wilayah strategik. Amerika juga terkenal memiliki unit pertahanan yang paling berjaya di dunia perisikan iaitu CIA (Central Intelligence Agency).

Kelebihan-kelebihan tersebut mendorong Amerika untuk membantu Israel di atas dasar kepercayaan mereka untuk menguasai tanah-tanah Arab dan melindungi hak orang Yahudi. Hubungan ini berlangsung sebagaimana petikan ucapan Jimmy Carter, presiden Amerika ke-39 kepada badan Knesset, Israel;

“Sesungguhnya hubungan Amerika dengan Israel lebih daripada satu hubungan khusus, dan telah menjadi kemestian sebagai hubungan yang unik, iaitu sebuah hubungan yang tidak dapat dilupakan (dipisahkan); kerana hubungan ini berakar di dalam nurani, etika, agama dan kepercayaan orang-orang Amerika” - rujuk Address of US President Jimmy Carter to the Knesset, March 12, 1979

Hubungan politik Amerika-Israel tentunya jauh berbeza keadaannya dengan hubungan politik negara Islam dengan negara Islam yang lain. Namun, apa yang jelas negara-negara seperti Jerman, Britain, Belanda, Amerika Syarikat, Perancis dan lain-lainnya membina kekuatan tentera untuk melawan musuh negara dan melindungi tanah air mereka di manapun rakyat mereka berada. Warga Britain mungkin sahaja mereka berbangga dengan British Special Air Service (SAS), Amerika Syarikat pula dengan pasukan Navy Seals-nya dan Israel dengan unit komando Shayetet 13 yang dimanfaatkan demi mempertahankan wilayah mereka.

Apa yang malang, negara-negara umat Islam yang dianugerahkan pelbagai jenis hasil-mahsul duniawi, memuncungkan kekuatan tentera bukan untuk menakutkan musuh, sebaliknya mengganyang rakyat sendiri. Ketika perjanjian Camp David 1979, Mesir menggunakan kekuatan pasukan keselamatan untuk melanyak rakyat yang memprotes keputusan Anwar Sadat. Ribuan anggota Ikhwanul Muslimin terbunuh, dan belasan ribu meringkuk di dalam penjara. Sejarah penindasan tentera Mesir terhadap rakyat berulang lagi ketika rampasan kuasa oleh Jeneral Abdul Fattah as-Sisi terhadap presiden Mesir yang sah, Dr. Muhammad Morsi.

Arab Saudi pula membina angkatan tenteranya dengan berbelanja ratusan billion dollar Amerika, bukan untuk berlawan dengan Israel, tetapi membantu negara sejiran melanyak rakyatnya. Tiada rekod Arab Saudi membantu Hizbullah, gerakan jihad yang dilabel Syiah sesat itu ketika perang Israel-Lubnan 2006, atau kepada Harakah Muqawamah Islamiyah (HAMAS) yang dilabel Sunni radikal ketika klaustrophobia di Gaza sejak 2009, sebaliknya menggerakkan sejumlah besar dana kewangannya untuk menggagalkan kejayaan revolusi rakyat di Timur Tengah, Mesir khususnya.

Di Syria pula, kekuatan tentera di sana pernah dikerahkan oleh Hafez al Assad untuk menghancurkan kebangkitan rakyat di Homs dan Aleppo pada tahun 1982. Ribuan rakyat terkorban dengan muntahan peluru-peluru berdosa oleh rejim Hafez Al Assad. Kini anaknya, Bashar al Assad pula mengulangi sejarah kezaliman yang sama dengan membedil penempatan rakyatnya sehingga jutaan penduduk menjadi mangsa pembunuhan dan gelandangan.

Malaysia pula selepas laungan kemerdekaan 1957, juga tidak terlepas mempergunakan pasukan keselamatannya untuk bertindak zalim ketika peristiwa Memali 1985, menangkap dan memenjarakan sesiapa sahaja yang tidak sebulu dengan pemerintah. Jika senario ini berterusan, semakin banyaklah nesan insan tidak berdosa yang menjadi mangsa aniaya dek kebutaan hati penguasa. Sedangkan al Quran memberitahu kita dalam satu ayatnya;

وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لاَ تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لاَ تُظْلَمُونَ
“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan (semaksimanya) yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” - al Anfal:60

Sebaliknya apa yang berlaku, negara-negara umat Islam menyediakan kekuatan perang, ketenteraaan dan keselamatan, bukan untuk menggerunkan musuh negara dan musuh Allah, sebaliknya digunakan untuk menggerunkan rakyat sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan