Type something and hit enter

ads here
On
advertise here
Istiqomah adalah antara sifat unggul Islam yang akan menjamin kejayaan di dunia dan akhirat. Walau amat sukar dalam hidup ini untuk istiqamah atas kebenaran, berdiri teguh sepanjang masa, berada di atas kebenaran dan petunjuk, tanpa berpaling ke kiri atau ke kanan namun ia adalah asas untuk hidup beragama dan jalan keselamatan kerana dia merupakan sebesar-besar karamah (kemuliaan) di dunia dalam menuju karamah yang abadi iaitu syurga. Rasulullah S.A.W pernah bersabda, "Surah Hud menyebabkan rambutku beruban" [Tafsir Ibnu Katsir, Ibnu Katsir, Juzu':4, M/S:302].

Sabda baginda ini merujuk kepada ayat berkaitan dengan istiqamah di dalam surah Hud. Ia menggambarkan betapa penting dan sukarnya untuk istiqamah.

Ibnu Qayyim Al Jauziyyah pernah mendengar Ibnu Taimiyah menyatakan, “Sehebat-hebat karamah ialah melazimi (sesuatu perkara dengan) istiqomah [Madarij As Salikin, Ibnu Al Jauzi, Juzu':2, M/S:106]. Justeru itu, jika seseorang boleh berjalan di atas air atau boleh terbang di udara, ia bukanlah bukti bahawa Allah memuliakannya dengan karamah melainkan setelah dapat berpegang teguh dengan kebenaran yang berupa segala perintah mahupun larangan Allah kerana istiqomah adalah satu-satunya syarat untuk mendapatkan karamah.

Dalam hadis yang diriwayatkan Imam Muslim, Sufyan bin Abdillah R.A pernah bertanya Rasulullah S.A.W, “Wahai RasulAllah, beritahuku dalam Islam ini satu perkataan yang aku tidak perlu bertanya sesiapa lagi selepas ini”. Jawab Nabi S.A.W, “Katakan aku beriman kepada Allah, kemudian kamu beristiqamahlah” [Riwayat Muslim No:58].

Perjalanan hidup Para Nabi dan Rasul adalah contoh terbaik dalam menterjemahkan makna istiqomah. Mereka sangat terkemuka di tengah-tengah masyarakat manusia malah di depan Allah Taala, bukan kerana mereka beriman dan beramal saleh semata-mata, lebih dari itu Para Nabi dan Rasul ini adalah orang-orang pilihan yang memiliki “keteguhan” dalam iman dan amal saleh mereka.

Betapa istiqomah dan teguhnya prinsip dakwah Rasulullah S.A.W ketika dipujuk oleh bapa saudaranya Abu Talib supaya berhenti berdakwah, Baginda lalu berkata, “Sekalipun jika diletakkan bulan di tangan kiri ku dan matahari di tangan kanan ku, namun untuk aku memberhentikan usaha dakwah ini tidak sama sekali. Aku akan teruskan sama ada aku berjaya atau mati dalam usaha ku ini” [Hadith Riwayat Al Baihaqi No:522].

Itulah keteguhan yang yang bernyala-nyala, yang ada dalam diri Rasulullah S.A.W sehingga Baginda berhasil merealisasikan impiannya untuk mengislamkan manusia. Istiqamah tidak mengenal jemu, payah, ugutan dan bujukan dalam perjuangannya. Lihatlah bagaimana Rasulullah S.A.W memulakan perjuangannya di Makkah tetapi terhalang. Tidak putus asa, Baginda bergerak mencari sinar di Taif, masih ditolak. Kemudian hijrah sebilangan Sahabat-nya memohon “suaka politik” di Habsyah. Dan akhirnya menemui cahaya kemenangan di Kota Madinah dan kembali semula “membuka” kota Makkah. Baginda tidak mengenal undur, kerana hanya dengan istiqomah ia boleh membawa kejayaan.

Kejayaan Rasulullah S.A.W terpaksa “mengorbankan” deretan Sahabat-Sahabat yang sangat disayanginya bermula dengan syahidnya Sumayyah, Yassir, Saidina Hamzah, Saad bin Muaz, Hanzalah, Mus’ab dan lain-lain. Mereka juga golongan yang sangat istiqomah. Bahkan sekian lama Baginda sendiri telah mengorbankan segala kesenangan, kerehatan, keselesaan dan kecintaannya demi sebuah kalimah La Ilaha IllaLlah.

Nabi Ibrahim AS dengan jiwanya yang sangat istiqomah itu telah berkali-kali diuji oleh Allah. Ibrahim berputus arang dengan bapanya (Azar) kerana Allah demi menzahirkan prinsip keimanannya. Dia juga tetap teguh ketika dicampakkan ke dalam api besar yang membara oleh Raja Namrud kerana kejituan imannya terhadapa Allah. Baginda juga dengan tulus ikhlas sanggup mengorbankan puteranya Ismail. Sebagai orang tua, Ibrahim sangat sayang kepada puteranya. Tetapi walau bagaimana sayang sekalipun kepada anaknya, Baginda terus menggengam dengan penuh keteguhan bahawa Allah Taala tetap nombor satu.

Inilah istiqomah. Dengan terbuktinya keteguhan Baginda S.A.W, Allah mengambil Ibrahim sebagai hamba kesayanganNya sehingga digelar khaliluLlah sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud, “Siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah, ia berbuat kebaikan dan mengikuti agama Ibrahim yang lurus (benar). Dan Allah telah menjadikan Ibrahim (Nabi) kesayang-Nya”. [An Nisa':125]

Begitulah hebatnya dan besarnya pengertian istiqomah. Itulah jalan Para Nabi sepanjang zaman. Para pengikut Nabi juga, wajib menyelusuri jalan ini. Di sini kita lihat, besarnya peranan istiqomah dan tidak hairanlah mengapa Allah Taala menjanjikan balasan yang besar kepada mereka yang beristiqomah. Allah Taala menjanjikan kebahagiaan kepada golongan yang berpegang teguh dan istiqomah dalam perjuangan dan kebenaran. Kebahagiaan itu adalah syurga di mana di sana tiada lagi hati-hati yang merasa kebimbangan, ketakutan dan kesedihan, mereka kekal di dalamnya. Kenyataan ini tergambar dalam firman Allah di dalam Al Quran, "Merekalah ahli syurga, tetap kekallah mereka di dalamnya sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan". [Al Ahqaf:14]

Sebaliknya orang yang goyah pendiriannya seperti lalang ditiup angin, tidak konsisten dan tidak teguh prinsipnya dalam aqidah, iman, Islam dan termasuk beramal saleh tidak disebut menjadi penghuni syurga apalagi kekal di dalamnya. Semua ini menjelaskan kepada kita bahawa istiqomah (teguh pendirian dan amalan) mesti kita miliki, kerana dengan istiqamah manusia akan menjadi mulia di khalayak ramai dan di depan Allah Taala.

Sesiapa yang memilikinya pasti dijanjikan balasan syurga, tiada ketakutan dan dukacita. Para Malaikat akan turun kepada mereka ketika hampirnya ajal untuk menenangkan dan meneguhkan jiwa golongan ini. Dalam dunia yang dipenuhi kefasadan ini, untuk istiqamah bukanlah perkara mudah tapi sewajibnya melalui tarbiah jiwa yang sarat dengan mujahadah dan tazkiah (penyucian).

Click to comment