Type something and hit enter

ads here
On
advertise here

"IKHTILAF" memberikan maksud percanggahan, perbezaan dan perselisihan pendapat, manakala ikhtilaf berbeza dengan "TAFARRUQ" yang membawa erti perpecahan. Perbezaan pendapat di kalangan mujtahid lazimnya muncul dalam menafsirkan dan memahami nas Al Quran dan Sunnah sebagai sumber hukum melalui Qias (anologi), Masolih Mursalah, Istihsan dan Istishab. Fenomena ikhtilaf atau perbezaan pendapat adalah fenomena klasik yang sudah lama menjadi asam-garam kehidupan sejak generasi Salaf sehinggalah sekarang ini, dan ia diterima di dalam ruang komuniti sebagai realiti yang tidak mungkin dapat disanggah atau dihilangkan sampai bila-bilapun, kerana ikhtilaf pasti akan berlaku. Sedangkan perselisihan suami isteri boleh tercetus, inikan pula perselisihan yang melibatkan sebuah institusi yang lebih jauh marhalahnya.

Namun, persoalannya di sini bagaimanakah kita memupuk sikap beradab ketika berlakunya ikhtilaf? Itulah yang sering menjadi naratif utamanya. Maka, dihidangkan kisah adab ikhtilaf, generasi terbaik Islam mengenai isu keputusan hukuman terhadap tawanan perang Badar.
Perang Badar merupakan peperangan pertama di antara kaum Muslimin dengan kaum musyrikin. Jumlah kaum Muslimin sangat sedikit, sedangkan jumlah kaum musyrikin lebih ramai. Peperangan Badar telah memperlihatkan kekentalan iman Para Sahabat dan kecintaan mereka kepada Allah melebihi kaum kerabatnya sendiri. Di dalam perang Badar, Abu Ubaidah Al Jarrah membunuh bapanya, Mus'ab bin Umair membunuh saudaranya, Umar Al Khattab dan Hamzah membunuh kaum kerabatnya, termasuk juga Ali bin Abi Talib yang turut membunuh saudara sekabilahnya.

Tegasnya, Islam mewajibkan umatnya menghubungkan silaturrahim dengan kaum keluarga, mempererat hubungan masyarakat, dan wajib menghormati ibu bapa walaupun mereka menganut agama musyrik, tetapi apabila berlakunya pertembungan antara iman dan kufur - iaitu terjadinya kekufuran yang mahu menenggelamkan keimanan, maka persoalan iman hendaklah diutamakan.

لا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ أُوْلَئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الإِيمَانَ وَأَيَّدَهُم بِرُوحٍ مِّنْهُ وَيُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ أُوْلَئِكَ حِزْبُ اللَّهِ أَلا إِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
"Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya." (Surah Al Mujadalah:22)

Apabila pertempuran yang berlaku di Badar dimenangi oleh Islam, berkurangnya jumlah tentera musyrikin dalam peperangan tersebut telah berjaya melemahkan moral pemimpin musyrikin Quraish, menghina kesombongan dan keangkuhan mereka yang selama ini dijadikan bahan momokan bagi umat yang beriman. Kemenangan di Badar membuatkan kaum musyrikin gerun dengan kekuatan yang kini dimiliki oleh umat Islam, umat yang dipimpin Rasulullah S.A.W di Madinah. Seterusnya isu kemenangan tersebut beralih pula perihal hukuman ke atas 70 orang musyrikin yang menjadi tawanan perang, mereka dijaga dan dikawal oleh pihak tentera Islam, sehingga diriwayatkan tentera-tentera Islam sanggup memakan tamar sedangkan para tawanan diberikan roti di saat lapar.

Rasulullah S.A.W meminta keputusan musyawarah Para Sahabat berkenaan dengan isu tawanan perang tersebut, lantas Abu Bakar R.A berkata, "Wahai Rasulullah, mereka masih kerabat kita, kenapa kita tidak mengarahkan mereka membayar tebusan sahaja. Tebusan itu nanti dapat kita manfaatkan sebagai bekal memperkuat pasukan Islam. Mudah-mudahan Allah memberi petunjuk kepada mereka, lantas mereka menjadi pendukung kita".

Manakala Umar Al Khattab R.A mengeluarkan pendapat, "Demi Allah, saya tidak sependapat dengan Abu Bakar. Mereka telah mendustakan dan mengusirmu. Saya melihat Baginda Nabi perlu memberikan mandat agar tawanan dibunuh sahaja". Keputusan yang seumpama Umar turut disampaikan oleh Abdullah bin Rawahah agar semua tawanan tersebut dibunuh kesemuanya.

Setelah mendengar seluruh pendapat Para Sahabat, ada pendapat yang seperti Abu Bakar dan ada juga pendapat seperti Umar, kemudian Rasulullah S.A.W bersabda, "Sesungguhnya Allah melunakkan hati seseorang sehingga menjadikan ia lebih lembut dari cairan susu. Sesungguhnya Allah juga mengeraskan hati seseorang, sehingga menjadikan hati mereka sekekar batu. Sesungguhnya kamu Abu Bakar, jiwamu lembut diibaratkan seperti lembutnya jiwa Nabi Ibrahim A.S, halus sifatmu seperti Nabi Isa A.S".

Baginda Ibrahim A.S mengatakan :

رَبِّ إِنَّهُنَّ أَضْلَلْنَ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ فَمَن تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي وَمَنْ عَصَانِي فَإِنَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
"Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (sekiranya dia insaf dan bertaubat)" (Surah Ibrahim:36)

Nabi Isa A.S mengatakan :
إِن تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ وَإِن تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
"Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tiada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" (Surah Al Maidah:118)

"Manakala kamu wahai Umar, jiwamu diibaratkan sepejal jiwa Nabi Musa A.S, sifatmu tegas seperti Nuh A.S"

Nabi Musa A.S pernah mengatakan :
وَقَالَ مُوسَى رَبَّنَا إِنَّكَ آتَيْتَ فِرْعَوْنَ وَمَلأهُ زِينَةً وَأَمْوَالاً فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا رَبَّنَا لِيُضِلُّواْ عَن سَبِيلِكَ رَبَّنَا اطْمِسْ عَلَى أَمْوَالِهِمْ وَاشْدُدْ عَلَى قُلُوبِهِمْ فَلاَ يُؤْمِنُواْ حَتَّى يَرَوُاْ الْعَذَابَ الأَلِيمَ 

"Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata; Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan cerai-beraikan hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terhingga sakitnya" (Surah Yunus:88)

Manakala Nabi Nuh A.S pernah mendoakan kaumnya :
وَقَالَ نُوحٌ رَّبِّ لا تَذَرْ عَلَى الأَرْضِ مِنَ الْكَافِرِينَ دَيَّارًا

"Dan Nabi Nuh (merayu) berkata; Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorangpun dari orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi!" (Surah Nuh:26)

"Sesungguhnya kamu semua (Abu Bakar, Umar dan Para Sahabat) merupakan satu ikatan keluarga yang tidak dapat dipisahkan...". [ Disebut di dalam Musnad Imam Ahmad, At Tirmizi dan Hakim di dalam Mustadrak-nya. Manakala Imam Bukhari dan Imam Muslim tidak meriwayatkan hadis ini ]

Dipendekkan cerita, Baginda Rasulullah S.A.W lebih cenderung memilih pandangan Saidina Abu Bakar, dengan harapan semoga tawanan sedar dan kemungkinan beriman kepada Allah Taala. Keputusan ini juga dibuat supaya dapat mengganti balik harta benda kaum Muhajirin yang tertinggal di Makkah sewaktu operasi "hijrah" ke Madinah, agar dengannya ia dapat memperbaiki urusan dunia kaum Muhajirin di Madinah. Kemiskinan yang dihadapi oleh kaum Muhajirin di Madinah jelas disebut dalam doa Baginda S.A.W, "Ya Allah, mereka ini (kaum Muhajirin) berkaki ayam maka berilah kenderaan kepada mereka, Ya Allah mereka tidak berpakaian maka berilah pakaian kepada mereka, mereka juga lapar maka berilah mereka makanan...".

Begitulah kasih Baginda S.A.W kepada umatnya. Lalu hukuman ke atas tawanan dilaksanakan sesuai dengan cadangan Abu Bakar. Harga tebusan ditentukan sekitar harga 4 000 dirham sehingga 1 000 dirham mengikut taraf dan kedudukan masing-masing. Ada juga di kalangan tebusan dibebaskan dengan syarat mengajar 10 orang kanak-kanak sehingga pandai, dan terdapat juga yang dibebaskan tanpa sebarang bayaran seperti Al Muttalib bin Hantab, Saifi bin Abi Rifa'ah dan Abu Izzat Al Jamhi.

Menantu Baginda Nabi bernama Abu Al 'As bin Al Rabi' turut ditawan di dalam perang Badar. Oleh itu, Zainab puteri sulung Rasulullah S.A.W yang masih ditahan di Makkah telah menyerahkan kalung pemberian Ummul Mukminin Khadijah R.A.H, bagi menebus suaminya Abu Al 'As. Baginda S.A.W meminta izin kepada Para Sahabat agar Abu Al 'As dibebaskan tanpa bayaran, dengan syarat puterinya Zainab dibenarkan berhijrah ke Madinah.

Sohail bin Amru, (sebelum Islam-nya) terkenal dengan sikap suka mencela Nabi turut menjadi tawanan Badar. Umar Al Khattab meminta izin kepada Nabi untuk mencabut dua batang gigi Sohail dan menarik lidahnya supaya tidak dapat lagi mencela Baginda Nabi S.A.W. Tetapi Rasulullah S.A.W tidak berkenan dengan cadangan Umar, dan mengusulkan Umar supaya membiarkan Sohail kembali ke Makkah selepas wang tebusan diberikan. Keesokan harinya wahyu turun kepada Baginda S.A.W berkenaan keputusan hukuman tawanan Badar sehingga membuatkan merinding seluruh bulu roma.

Allah Taala berfirman :
مَا كَانَ لِنَبِيٍّ أَن يَكُونَ لَهُ أَسْرَى حَتَّى يُثْخِنَ فِي الأَرْضِ تُرِيدُونَ عَرَضَ الدُّنْيَا وَاللَّهُ يُرِيدُ الآخِرَةَ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
"Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda duniawi, sedangkan Allah Taala menghendaki (pahala) akhirat (untukmu). Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana".

لَّوْلاَ كِتَابٌ مِّنَ اللَّهِ سَبَقَ لَمَسَّكُمْ فِيمَا أَخَذْتُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ
"Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu dari Allah (keizinan tentera Islam untuk mendapat harta ghanimah), nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil". (Surah Al Anfal:67-68)

Mendengar wahyu yang diturunkan Allah kepada Rasulullah S.A.W ini, menyebabkan Baginda dan Abu Bakar menangis atas teguran tersebut. Tidak lama kemudian Umar Al Khattab R.A datang mengunjungi Rasulullah S.A.W, dan beliau mendapati Baginda Nabi dan Abu Bakar sedang menangis. Umar bertanya, "Ya Rasulullah, beritahulah tentang apakah yang menyebabkan kamu berdua menangis? Biar saya tahu sebabnya untuk saya sama-sama menangis".

Lantas Baginda S.A.W membacakan ayat dari surah Al Anfal ayat 67 hingga ayat 69. Peringatan Allah Taala ini direkodkan di dalam Al Quran adalah kerana kebanyakan tawanan perang Badar merupakan penjenayah-penjenayah besar terhadap Islam (Rujuk Tafsir Ibnu Kathir Jilid 4) dan juga segelintir manusia yang mengambil kesempatan memenuhkan nafsu keduniaan mereka. Walau bagaimanapun, keputusan Rasulullah S.A.W ini bukanlah keputusan yang lahir dari "nafsu", tetapi lahir berdasarkan sifat kenabian Baginda S.A.W yang terpelihara dari dosa dan kesalahan, termasuklah hujjah yang terdapat pada ayat Allah perihal hukuman ke atas tawanan perang sebelum ini :

فَإِذَا لَقِيتُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا فَضَرْبَ الرِّقَابِ حَتَّى إِذَا أَثْخَنتُمُوهُمْ فَشُدُّوا الْوَثَاقَ فَإِمَّا مَنًّا بَعْدُ وَإِمَّا فِدَاء حَتَّى تَضَعَ الْحَرْبُ أَوْزَارَهَا ذَلِكَ وَلَوْ يَشَاء اللَّهُ لانتَصَرَ مِنْهُمْ وَلَكِن لِّيَبْلُوَ بَعْضَكُم بِبَعْضٍ وَالَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَلَن يُضِلَّ أَعْمَالَهُمْ
"Dengan yang demikian, apabila kamu berjuang menentang orang-orang kafir (dalam peperangan jihad) maka pancunglah lehernya, sehingga apabila kamu dapat membunuh mereka dengan banyaknya (serta mengalahkannya) maka tawanlah (mana-mana yang hidup) dan ikatlah mereka dengan kukuhnya. Setelah selesai pertempuran itu maka (terserahlah kepada kamu) sama ada hendak memberi kebebasan (kepada orang-orang tawanan itu dengan tiada sebarang penebusnya) atau membebaskan mereka dengan mengambil penebusnya. (Bertindaklah demikian terhadap golongan kafir yang menceroboh) sehinggalah berakhir peperangan jihad itu (dan lenyaplah sebab-sebab yang menimbulkannya). Demikianlah (diperintahkan kamu melakukannya). Dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah Dia membinasakan mereka (dengan tidak payah kamu memeranginya); tetapi (diperintahkan kamu berbuat demikian) kerana hendak menguji kesabaran kamu menentang golongan yang kufur ingkar (yang mencerobohi kamu). Dan orang-orang yang telah berjuang serta gugur syahid pada jalan Allah (mempertahankan ugamanya), maka Allah tidak sekali kali akan mensia-siakan amal-amal mereka." (Surah Muhammad:4)

Lantaran itu, setelah Umar mengetahui pendapatnya yang sebelum ini mengenai tawanan Badar diketepikan telah dibenarkan di dalam surah Al Anfal, Umar tidak lantas kegirangan, merasa 'ujub apalagi sampai mengatakan, "Haa... kan aku dah cakap, pendapat aku lagi benar, cuba kalau dari dulu kata-kata aku dijadikan rujukan setiap permasalahan, sudah tentu tiada teguran seperti ini...".

Justeru sebaliknya, Umar bin Al Khattab turut menangis bersama Abu Bakar dan Rasulullah S.A.W, ini kerana teguran Allah itu tidak hanya ditujukan kepada Rasulullah dan Abu Bakar sahaja, tetapi juga kepada seluruh kaum Muslimin. Kerana, kaum Muslimin itu ibarat satu organ yang jika sebahagiannya merasa sakit, maka pasti yang lainnya juga turut merasai kesakitannya. Jika sahabat seperjuangannya dikritik, mereka yang lain turut merasa kritikan tersebut dan masing-masing mahu membelanya. Itulah realiti perjuangan dalam jemaah, perjuangan dalam organisasi, perjuangan yang meneruskan sunnaturrasul, ukhuwwah mendisiplinkan kita untuk saling bahu-membahu, bukannya jatuh-menjatuhkan.

Click to comment