Type something and hit enter

ads here
On
advertise here
"Seliar-liar harimau ia tidak akan makan anak sendiri". Realitinya hal itu tidaklah asing bila Raja Rimba yang terkenal sifat kebuasan, tidak akan memakan anaknya sendiri biarpun dalam kelaparan, bahkan dia rela mati-matian untuk melindungi anaknya. Hal ini menunjukan betapa kuatnya ikatan biologi yang mengalir dari perasaan harimau kepada anaknya tersebut. Pun demikian juga halnya manusia. Kedua-dua orang tua tentu akan melindungi dan mendidik cahaya permata mereka agar menjadi manusia yang berguna bagi manusia sekitarnya. Ini kerana adanya ikatan yang mengikat di antara mereka, iaitu ikatan darah dan keturunan.

Namun, ikatan tersebut bukanlah ikatan yang kuat. Bukanlah ikatan yang sempurna. Sebagaimana kita mampu melihat fakta di mana hakikatnya ramai anak-anak yang tidak lagi menurut atau condong kepada keyakinan orang-orang tuanya. Dalam Sirah Nabawiyah pun kita dapat melihat bagaimana Para Sahabat yang lebih memilih Islam sebagai aqidah yang mengikat diri mereka, meskipun keluarga mereka sendiri bersumpah akan memutuskan silaturahim tali keluarga!


Lihatlah bagaimana Mus’ab Bin Umair, muqarri’ Madinah yang lebih memilih Islam berbanding keluarganya sendiri. Ia rela berhijrah ke Madinah, menjadi duta Rasulullah S.A.W untuk menyampaikan risalah Islam di kota tersebut. Mus’ab Bin Umair adalah lelaki yang sangat luar biasa. Ketika zaman jahiliyyah, Mus'ab dikenali sebagai pemuda dambaan kaum wanita. Wajahnya tampan, sesiapaun yang melihatnya akan merasa tenang. Apabila Mus'ab menghadiri sesebuah majlis atau perkumpulan, beliau secara tidak langsung adalah magnet pemikat semua orang terutamanya kaum wanita. Gemerlap pakaiannya dan busana indahnya sungguh mempesonakan. Namun sesudah memeluk Islam, sifatnya berubah sama sekali.

Pada suatu hari beliau tampil di hadapan beberapa orang Muslimin yang sedang duduk di sekeliling Rasulullah S.A.W. Apabila mereka memandang Mus’ab, masing-masing menundukkan kepala, sementara beberapa Sahabat matanya berjatuhan titisan air yang membasah kerana duka. Mereka melihat Mus’ab memakai jubah usang yang bertampal–tampal, padahal masih belum hilang dari ingatan mereka – pakaian Mus'ab sebelumnya masuk Islam tidak ubah seperti jutawan Arab. Adapun Rasulullah S.A.W menatapnya dengan pandangan penuh erti, disertai cinta kasih dan syukur dalam hati.

Pada kedua bibirnya tersungging senyuman mulia seraya Baginda bersabda, "Dahulu daku melihat Mus’ab, tidak ada yang mengimbanginya dalam memperoleh kesenangan orang tuanya, kemudian dia meninggalkannya (kemewahan tersebut) demi cintanya kepada Allah dan Rasul-Nya".

Itulah keistimewaan yang ada pada aqidah dan pegangan. Pada sisi lain, hubungan aqidah juga telah meleburkan kesenjangan bangsa, sebaliknya bertukar menjadi sanak saudara. Abu Bakar yang berbangsa Arab, Salman berbangsa Parsi, Bilal pula dari Ethiopia, manakala Shuhaib berasal dari bangsa Rom. Mereka menjalin ukhuwwah wal mahabbah (persaudaraan dan kasih sayang) yang menembusi batas-batas kesukuan, nasional, kebangsaan, warna kulit, tanah air dan bahasa. Itulah ukhuwah Islamiyyah yang terpancar dari ikatan aqidah.

Jagalah Ukhuwah Wahai Para Ikhwah

Namun, ada hal yang boleh merosak ikatan aqidah itu sendiri yakni hilangnya rasa ukhuwah di antara para pendokongnya kerana faktor personal ataupun hal-hal yang terlalu teknikal. Hal ini berlaku apabila kita menyaksikan para ikhwah saling mencaci, mencerca, rendah-merendahkan ketika berdiskusi, hal yang pada mulanya bermotifkan kebenaran, beralih untuk mencari pembenar dan pesalah.

Ketika kita berdiskusi tentang dakwah, berdiskusi tentang harakah Islamiyyah, apakah kita telah berdiskusi secara ahsan? Apakah niat kita benar-benar difokuskan untuk mencari kebenaran, bukan mencari seorang sang pembenar?

Adakah diskusi yang kita lakukan tidak termasuk dalam acara membuka aib lawan kerana telah kalah hujjah? Sebagaimana kata seorang pemikir, "Seseorang yang tidak memiliki hujjah yang benar dalam berdiskusi, maka orang tersebut akan akan menyerang dari sisi selain hujjah lawan diskusinya".

Baginda Nabi S.A.W bersabda, "Sesiapa yang merasa pernah berbuat aniaya kepada saudaranya, baik berupa kehormatan badan, harta atau lain-lainnya, hendaklah segera meminta halal (maaf), sebelum datang suatu hari yang tiada tersisapun walau sedikit harta, dinar atau dirham. Jika dia punya amal soleh maka akan diambil menurut penganiayannya dan jika dia tidak mempunyai sebarang bekal hasanaat (kebaikan) maka dia diambilkan dari kejahatan orang yang telah dia aniaya untuk ditanggungkan kepadanya" [Riwayat Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah R.A].

Hadis diatas menggambarkan kepada kita, bahawa tatkala kita tidak meminta maaf kepada orang yang kita rasa pernah kita sakiti, baik secara fizik mahupun non-fizik (kata-kata), maka wajiblah kita untuk meminta maaf. Jika tidak, maka kelak semua amal soleh kita akan diambil dan diagih untuk menghilangkan dosa penganiayaan tersebut sesuai kadarnya. Dan jika kita tidak memiliki sama sekali amal soleh atau kebaikan, maka kita akan mendapat pula tambahan kejahatan dari orang yang kita aniaya tersebut.

Semua orang tentu mempunyai aib dan tentu pula ia tidak mahu orang lain tahu akan keaiban yang dimiliki. Bayangkan jika keaiban orang tersebut dibuka oleh orang lain, lalu hal itu diketahui olehnya, sebagai contoh keaibannya ditayangkan di kaca televisyen sebagaimana rancangan-rancangan hiburan tentulah hal ini akan mendatangkan kemarahan dan dendam mangsa terhadap pelakunya.

Rasulullah S.A.W, "Barang siapa melepaskan seorang Mukmin dari kesusahan hidup di dunia, nescaya Allah akan melepaskan darinya kesusahan di hari kiamat, barang siapa memudahkan urusan (Mukmin) yang sulit nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Barangsiapa menutup aib seorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat. Allah akan menolong seorang hamba, selama hamba itu sentiasa menolong saudaranya. Barang siapa menempuh perjalanan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan baginya menuju syurga. Tidaklah sesuatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah untuk membaca KitabuLlah dan mempelajarinya bersama-sama, melainkan akan turun kepada mereka ketenteraman, rahmat Allah akan menyelimuti mereka, dan Allah memuji mereka di hadapan (Para Malaikat) yang berada di sisiNya. Barang siapa lambat amal baiknnya (menangguhkan amal kebaikannya), maka tidak akan disempurnakan kemuliaan nasabnya" [Sahih Muslim]

Maka, berfikirlah sebelum berkata, berfikirlah sebelum melakukan sesuatu perkara. Bayangkan bahawa dia adalah kita. Posisikan kita sebagai mangsanya. Posisikan kita yang aibnya dibuka ataupun perasaannya disakiti tatkala kita melontarkan perkataan atau kalimat yang itu membuat hati disakiti.

Bagi para pendokong dakwah, berdakwahlah dengan cara yang makruf. Bukan hanya berusaha menjaga perasaan hati para mad’u kita, namun juga menjaga perasaan saudara kita yang sebumbung melaksanakan harakah dakwah. Apa yang berlaku hari ini, cita-cita pengaruh politik kita lebih tinggi dari menjaga ukhuwwah sesama ahli. Maka kesantunan dan sifat ramah itu hanya diaplikasikan hanya apabila betentang mata dengan rakyat, tetapi tidak pula sesama rakan seperjuangan.

Dalam sebuah riwayat yang diketengahkan oleh Imam At Tirmizi, bahawa kunci meraih keluhuran jiwa adalah menjaga lisan. Muaz R.A bertanya kepada Rasulullah S.A.W, "Wahai Rasulullah S.A.W, beritahu kepada saya amal perbuatan yang dapat memasukkan saya ke dalam syurga dan menjauhkan dari neraka?". Baginda S.A.W bersabda, "Kamu benar-benar menanyakan sesuatu topik yang sangat mustahak (diketahui orang). Sesungguhnya hal itu sangat mudah bagi orang yang dimudahkan oleh Allah Taala, iaitu : Hendaklah kamu menyembah kepada Allah dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatupun, mendirikan solat, membayar zakat, puasa di bulan Ramadhan, dan berhaji ke Baitullah bila kamu mampu menempuh perjalanannya".

Selanjutnya, Baginda S.A.W bersabda lagi, "Mahukah aku tunjukkan kepadamu pintu-pintu kebaikan? Puasa itu adalah perisai, sadaqah dapat menghilangkan dosa seperti halnya air memadamkan api, dan solat seseorang di tengah malam", Baginda S.A.W lantas membaca ayat yang ertinya, "Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, sedang mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan penuh harap, serta mereka menafkahkan sebahagian rezeki yang telah Kami berikan kepada mereka. Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka, iaitu bermacam-macam nikmat yang menyenangkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan".
Lalu, Baginda bersabda lagi, "Mahukah engkau tahu pokok dan tiang dari segala sesuatu dan puncak keluhuran?". Muaz berkata, "Mahu wahai RasulAllah". Rasulullah S.A.W bersabda, "Pokok segala sesuatu adalah Islam, tiangnya adalah solat, dan puncak keluhurannya adalah berjuang di jalan Allah".

Kemudian Baginda bersabda lagi, "Mahukah kamu aku tunjukkan tentang kunci dari kesemuanya itu?". Muaz menjawab, "Tentu sekali wahai RasulAllah S.A.W".

Baginda lantas menunjukkan lidahnya sambil berkata, "Peliharalah ini". Muaz berkata, "Ya RasulAllah, apakah kami akan dituntut atas apa yang kami katakan?". Baginda S.A.W bersabda, "Bukankah wajah manusia tersungkur ke dalam neraka, tidak lain adalah kerana akibat kelancangan lidah mereka?" [Sunan At Tirmizi].

Mengambil Ibrah Dari Sahabat Rasulullah S.A.W

Dahulu, 2 orang Sahabat Rasulullah S.A.W pernah bertengkar keras. Abu Zar Al Ghiffari R.A menyebut Bilal R.A. sebagai anak si hitam. Apabila hal ini diketahui Rasulullah S.A.W, Baginda menegur Abu Zar dengan kemurkaan yang begitu mendalam, sehingga Abu Dzar R.A menyesal bukan kepalang, lalu diletakkan pipinya di latar tanah dan meminta Bilal R.A menginjak wajahnya sepuasnya asalkan Bilal boleh memaafkannya. Pada akhirnya Bilal R.A tidak pernah menginjak wajah Abu Zar, dan hanya memandangnya dengan air mata berkaca lalu memeluk Abu Zar erat-erat.

Lihatlah hal-hal yang kita anggap konyol, tidak perlu, tidak profesional dan tidak matang dilakukan oleh para aktivis gerakan Islam pun pernah berlaku kepada generasi Sahabat Rasulullah S.A.W. Isunya bukan untuk mengiyakan fakta pertengkaran tersebut, tetapi yang utamanya ingin disampaikan di sini ialah apakah ibrah yang lahir dan mampu kita peroleh dari peristiwa tersebut, dan bagaimana Para Sahabat (generasi terbaik) ini mengatasinya.

Bersaudara tidak semestinya satu keturunan.
Bersaudara tidak seharusnya satu rumah.
Bersaudara bukan soal satu daerah.
Bersaudara bukan bermakna satu Malaysia.
Karena persaudaraan yang benar adalah atas dasar ukhuwwah Islamiyyah.
Kita dipersaudarakan oleh Allah yang kita sembah.
Kita bersaudara kerana Rasulullah S.A.W yang menyampaikan risalah hidayah.
Adakah ada persaudaraan yang lebih indah dari persaudaraan kerana Allah?
"Sesungguhnya orang-orang Mukmin adalah bersaudara. Oleh karena itu, damaikanlah di antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah agar kita mendapat Rahmat" (Al Hujurat:10)

Click to comment