Type something and hit enter

ads here
On
advertise here
Bayangkan anda seorang panglima perang. Bersama-sama anda adalah 300 orang askar yang setia, dan anda sedang berhadapan dengan gerombolan tentera musuh yang memiliki kekuatan lebih seribu orang askar. Misi perang yang anda pikul selaku seorang panglima adalah Mission Impossible! Kiraan mudahnya, anda bakal kalah sebelum bermula. Kemenangan kelihatan begitu mustahil. Dalam keadaan tertekan dan terdesak sebegitu, apa yang harus anda lakukan?

Jika anda sanggup di-cop pengecut, jangan tunggu lama untuk cabut lari. Itu pun kalau sempat berundur dan musuh gagal menjejak. Jika tidak anda dan askar-askar anda bakal dikenang sebagai ‘Si Lembik’ dan pengkhianat negara. Kubur anda barangkali tidak bernesan. Namun, jika anda tega memilih untuk berjuang di medan perang, apa yang mesti anda lakukan?


Peperangan Badar Kubra

Agaknya itulah situasi genting yang dihadapi Rasulullah S.A.W. dan Para Sahabat di Madinah apabila mendengar kekuatan pasukan perang Musyrikin Makkah. Kekuatan tentera Muslimin hanya seramai 300 orang. Sedangkan tentera Musyrikin berjumlah 1000 orang semuanya. Sudahlah bilangan mereka sedikit, kelengkapan perang juga begitu menyedihkan. Beberapa orang Sahabat yang tidak bersenjata hanya mampu memegang pelepah kurma.

Pedang bertemu pelepah kurma? Apa yang boleh diharapkan? Menghayun pun luka, dihayun pun luka. Dalam keadaan begitu, apa yang Rasulullah lakukan?
  • Nabi S.A.W membina kepercayaan Para Sahabat agar percaya kepadanya. Percaya dengan bantuan Allah yang sentiasa bersama orang-orang Muslim.
  • Rasulullah memastikan bahawa tenteranya percaya kepada kemampuan diri sendiri! Hatta berperang dengan bersenjatakan pelepah kurma sekalipun, semua orang mesti berjuang sehingga ke titisan darah terakhir.
Gabungan kedua-dua elemen PERCAYA itu akhirnya membuahkan kejayaan. Muslimin berdiri megah di medan Badar walaupun pada satu ketika kekalahan hampir menjelma.

Cerita Kenny Dalglish

Di era kegemilangan Liverpool pada tahun 80-an, Dalglish adalah seorang kapten pasukan yang hebat. Tidak cukup dengan itu, beliau menjadi pengurus pasukan merangkap pemain. Pada era kepimpinan Dalglish itulah Liverpool memenangi hampir semua kejuaraan dalam bolasepak. Malangnya musim 2010/2011 ini Liverpool berhadapan dengan prestasi terburuk dalam sejarah kelab itu. Di pertengahan musim, kedudukan mereka terperosok di kedudukan ke-18. Penyokong-penyokong mereka memberontak dan mahukan pengurus mereka dipecat. Dan cuba anda teka siapa yang Liverpool pilih untuk mengambil-alih tugas pengurus?

Ya, Kenny Dalglish! Dalam masa yang singkat, Liverpool berjaya mendaki carta keenam Liga. Apa rahsia Dalglish?

Seorang pemainnya memberi komen, “Beliau memberitahu kami bahawa semua pemain kelab ini adalah hebat dan berkualiti. Kami hanya perlukan keyakinan dan fokus. Dia sentiasa positif”.

Hebat bukan?

Lagenda William Wallace


Anda pernah menonton filem Braveheart lakonan Mel Gibson? Cerita pahlawan Scotland yang berjuang menentang penindasan England itu adalah contoh klasik bagaimana seorang pemimpin yang hebat berjaya mencipta keajaiban dalam perjuangannya.

Pada kurun ke-12, orang-orang Scotland tunduk kepada England. Tanah mereka dirampas, isteri mereka dikebas dan kebanyakan mereka terpaksa membayar cukai yang tinggi. Tiada siapa yang mahu menentang. Pemimpin masyarakat Scotland pula hanya tahu membodek Raja England untuk mendapat kedudukan, pangkat dan tanah. Untuk apa melawan jika mati dan kehinaan menjadi taruhan?

Dalam keadaan itulah William Wallace membuat ‘kerja gila’ untuk bangkit dan menunjukkan kepada orang-orang Scotland bahawa England boleh dikalahkan. William berjaya memujuk dan menyatukan kaumnya sendiri supaya menuntut kemerdekaan. Kemuncaknya William berjaya memenangi Battle of Stirling Bridge yang memalukan Raja England, King Edward 1.

Begitupun, William dan pengikutnya tewas teruk dalam peperangan seterusnya. Dia diburu, ditangkap dan dihukum bunuh. Namun, inspirasi perjuangan William Wallace ini terus membara dan diingati setiap warga Scotland.

Penaklukan Constantinople

“Sesungguhnya Constantinople itu akan jatuh. Pemimpinnya adalah pemimpin yang terbaik dan tenteranya adalah yang tentera terbaik”, maksud hadis ini sudah terangkum makna kehebatan sebuah pemimpinan. Apabila seorang pemimpin mahukan perubahan, inginkan komitmen yang mantap malah kepercayaan yang jitu, hanya satu perkara yang perlu. PERCAYA KEPADA DIRI SENDIRI!

Setiap pemimpin yang hebat pernah lahir di dunia, mengasaskan pencapaian hebat mereka dengan membina kepercayaan dalam diri setiap manusia yang ditemuinya. Tanpa kepercayaan dan percaya diri sendiri, manusia hanya mampu berteori.

Manusia tidak akan berubah dengan tekanan. Manusia hanya boleh berubah apabila percaya bahawa diri sendiri boleh berubah!

Click to comment