Type something and hit enter

ads here
On
advertise here
Ketika Sultan Soleh Ismail Ayyub memerintah Kota Dimashq pada 638 H – Baginda telah melakukan hubungan diplomatik keji dengan tentera salibiyyah, untuk memerangi saudaranya Sultan Soleh Najmuddin Ayyub yang ketika itu memerintah Mesir. Malah Baginda Sultan turut memberi kebenaran kepada tentera-tentera Salibiyyah masuk ke wilayah Dimashq dan membeli senjata di sana sebagai syarat diplomatik yang dikenakan oleh Baginda. Perkara itu sekaligus akan memberikan pulangan lumayan kepada hasil dalam negeri.

Hal itu kemudiannya didedahkan oleh Sheikh ‘Izziddin bin Abdi As Salam di khalayak umum berkenaan dosa pemerintah Syria, Sultan Ismail Ayyub yang bersubahat dengan tentera Salib menyerang Mesir. Dengan lantang Sheikh ‘Izziddin menegur perbuatan hina Baginda Sultan Ismail dan mengingatkan beban petaka yang bakal dipikul rakyat Dimashq di atas mimbar masjid.


Ulama yang berani itu telah menunaikan tanggungjawab menyatakan kalimah yang benar di hadapan pemerintah yang zalim di mana akhirnya beliau dipenjarakan oleh Sultan Ismail Ayyub. Selepas itu datanglah tentera-tentera Najmuddin Ayyub dari Mesir, dengan izin Allah mereka berjaya mengalahkan tentera Ismail Ayyub dan sekutunya dari tentera-tentera Salibiyyah.

Sheikh ‘Izziddin kemudiannya berhijrah ke Mesir dan tinggal di sana men-tarbiyah generasi-generasi muda Mamalik (golongan hamba). Kebaikan Sultan Najmuddin Ayyub sangat terserlah apabila orang-orang Mamalik yang dibelinya tidak pernah Baginda menganggap hubungannya dengan mereka seperti tuan dan hamba, sayyid dan ‘abdi. Tetapi hubungan kekerabatan yang diterjemahkan oleh Sultan Najmuddin Ayyub sangat erat sehingga pengkaji sejarah Islam, Dr.Raghib As Sarjani mengibaratkan hubungan yang dipadu waktu itu ibarat hubungan ayah dengan anak, ustaz dengan anak murid.

Antara generasi Mamalik terbaik yang di-tarbiyah oleh Sheikh ‘Izziddin ialah Saifuddin Qutuz yang kemudiannya mendapat mandat sementara sebagai sultan bagi menggantikan Sultan Mansur Ali yang terlalu muda untuk menggalas tanggungjawab tersebut. Saifuddin Qutuz adalah tokoh pahlawan yang menghentikan kemaraan tentera Tatar ke wilayah-wilayah Islam di medan pertempuran Ayn Jalut, Palestin (25 Ramadhan 658H). Menurut sebilangan riwayat, Saifuddin Qutuz kerap menghadiri kuliah-kuliah yang disampaikan oleh Sheikh ‘Izziddin Abd As Salam.

Sekalipun Sultan Najmuddin Ayyub memberikan layanan yang baik kepada Sheikh ‘Izzuddin di Mesir, hal itu bukanlah bermakna beliau tidak menyanggupi dirinya untuk menegur salah dan kesilapan yang dilakukan oleh Sultan, apalagi ketika itu beliau dilantik menjadi Qadhi Qudhah (ketua hakim).

Sewaktu Sultan Najmuddin masih memerintah Mesir, banyak kota-kota yang baharu dibangun dan dimajukan. Namun, kebanyakan mereka yang dilantik dan ditugaskan menyelia daerah tersebut masih berstatus hamba (orang Mamalik), iaitu masih lagi berstatus milik baitulmal Muslimin. Mengikut hukum syara’, perlantikan mereka ke jawatan-jawatan tersebut tidak sah dan tindakan mereka terbatal.

Apabila hal ini diketahui oleh Sheikh ‘Izziddin, beliau terus mengeluarkan fatwa bahawa mereka (orang-orang Mamalik) harus dimerdekakan terlebih dahulu. Kemudian itu barulah mereka berhak memikul tugas di dalam jabatan pemerintahan.

Orang-orang Mamalik yang ketika itu telah memiliki jawatan dalam kerajaan terus mengadakan pertemuan dengan Syeikh ‘Izziddin, dengan tujuan meberikannya penjelasan tentang masa depan dan kedudukan mereka. Tetapi Syeikh ‘Izziddin tetap dengan keputusannya bahawa mereka hendaklah dijual secara lelongan terbuka, kemudian dibebaskan mengikut hukum syara’.

Ketegasan Sheikh ‘Izziddin Abd As Salam itu mengundang sikap kurang senang orang-orang Mamalik, apatah lagi di kalangan mereka ada yang telah diangkat menjadi naib kepada Baginda Sultan. Walhasil, apabila berita mengenai fatwa Sheikh ‘Izziddin sampai ke pengetahuan Sultan Najmuddin Ayyub, Baginda Sultan turut menolak mentah-mentah fatwa ini.

Mendengar khabar keengganan Sultan Najmuddin Ayyub mematuhi keputusan fatwa yang telah diaktakan itu, Sheikh ‘Izziddin mengambil rencana untuk keluar dari Mesir menuju ke Syam semula beserta keluarganya. Dengan mengendarai beberapa ekor keldai, pemergian Sheikh ‘Izziddin turut diekori oleh ribuan rakyat Mesir dari pelbagai peringkat, termasuklah para ulama dan para pemuda yang soleh.

Apabila berita pemergian mengejut Sheikh ‘Izziddin diketahui oleh Sultan Najmuddin, Baginda segera menemui beliau dan memohon kemaafan atas keterlanjuran sikap yang dilakukan terhadapnya. Baginda memujuk dan melembutkan hati Sheikh ‘Izziddin supaya tidak meninggalkan Mesir. Dan Sheikh ‘Izziddin bersetuju dengan permintaan Sultan dengan syarat semua pegawai kanan kerajaan di kalangan hamba itu hendaklah dilelong.

Selanjutnya, semua wakil-wakil kerajaan yang masih bertaraf Mamalik, dimerdekakan dengan lelongan sebagaimana perintah yang disyaratkan Sheikh ‘Izziddin kepada Sultan Najmuddin. Seorang demi seorang golongan Mamalik itu dilelong ditengah-tengah kota Kaherah, dan akhirnya mereka bertugas seperti biasa.
Dari peristiwa inilah Syeikh ‘Izziddin Abd As Salam dikenali sebagai ‘Penjual Raja-Raja’.

Begitulah halnya bahawa setiap individu, sama ada rakyat jelata mahupun pemimpin berhak untuk dinasihati dan dimuhasabah. Bahkan nasihat menjadi wajib bagi setiap individu yang mukallaf tatkala mereka menyaksikan kesalahan syariah yang berlaku di hadapan mata, tanpa mengira sama ada pelakunya merupakan seorang pemimpin atau rakyat jelata.

Dalam kisah ini, Sheikh ‘Izziddin Abd As Salam telah mengamalkan kehendak hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Jihad yang paling utama ialah memperkatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim” .

Menasihati pemimpin secara diam-diam, memanglah terdapat saranan yang dianjurkan oleh syariat . Namun, hal itu tidaklah menunjukkan larangan melakukan nasihat secara terang-terangan. Perkara ini hanyalah melibatkan masalah pilihan method menurut jenis kesalahan yang dilakukan. 

Oleh karena itu, tidak wajar kita berprasangka bahawa hadis tentang anjuran menasihati pemimpin secara sembunyi merupakan satu-satunya petunjuk yang paling benar, manakala cara yang lain adalah haram. Sikap seperti inilah yang tidak benar, malah bertentangan dengan Al Quran serta contoh Para Nabi, Salaf As Soleh dan para ulama rabbani.

Menegur secara terang-terangan ataupun sembunyi, kesemua aspek itu dilihat berdasarkan cara pelaku melakukan kemungkaran :

Kemungkaran dilakukan secara diam-diam, dan pelakunya merahsiakan perbuatan jahatnya. Jalan nasihat tidak dilakukan di hadapan khalayak, bukan dengan cara demonstrasi (terang-terang). Tujuannya supaya kemungkaran tersebut tidak membangkitkan sangka buruk kepada fikiran rakyat, dan supaya lisan mereka terjaga dari perkataan dosa (mengumpat) dan sia-sia.

Kemungkaran dilakukan secara terbuka dan pengaruhnya tidak terbatas kepada seorang individu pelaku sahaja. Jalan nasihat secara ‘terang-terangan’, ditengah-tengah khalayak seperti demonstrasi jalanan adalah wasilah yang diharuskan (jika tiada pilihan lain). Tujuan kemungkaran tersebut dibanteras secara nyata (bukan cara sembunyi), adalah supaya gejala buruk tersebut tidak mempengaruhi publik atau sebuah komuniti rakyat.

Dalam ilmu dakwah, cara tentang bagaimana ia disampaikan samada secara sembunyi atau terang-terangan, dan wasilah tentang bagaimana ia digunakan melalui tulisan (sms, email) atau tunjuk perasaan, kesemua itu adalah harus. Yang wajib ialah kita menyampaikan dan teguran berasaskan ajaran Allah Taala kepada umat Islam iaitu, amar makruf nahi mungkar. - TARBAWI

Click to comment