Type something and hit enter

ads here
On
advertise here
Sudah sampai masanya umat Islam Melayu-Indonesia, Thailand, Filipina, Brunei dan Singapura mempunyai keyakinan untuk membangun pemikiran yang asli mendepani cabaran umat, rantau dan dunia. Untuk itu kita perlu keluar dari kepompong pemikiran sempit, baik perkauman mahupun ideologi. Kekuatan dan tenaga yang akan membawa kita keluar dari kesempitan tersebut, tidak lain dan tidak bukan adalah kesejagatan dan universalisme Islam itu sendiri. Bahkan kedudukan Alam Melayu dewasa ini menuntut keberanian dan kecekalan.

Dunia hari ini memperkatakan kebangkitan China dan India. Peterson Institute of International Economics menegaskan ketika Presiden Hu Jintao bertemu dengan Presiden Barack Obama di Washington ketika awal tahun ini, dari segi purchasing power parity China sudah menjadi ekonomi nombor satu dunia. Maka dunia Islam yang diwakili oleh Alam Melayu-Indonesia berada di tengah-tengah ekonomi nombor 1 di dunia dengan satu lagi kuasa baru dunia iaitu India.

Maka tanggungjawab berdepan dengan kuasa-kuasa baru ini adalah tanggungjawab umat Melayu.

Selama satu kurun pemikiran dunia Islam dihantui oleh persoalan Islam dengan Barat. Sejak dari abad ke-19 umat Islam ditakluk dan dijajah oleh kuasa-kuasa imperialis Barat. Setelah dunia Islam memperolehi kemerdekaan persoalan Islam dengan Barat masih berterusan kerana negara-negara di kedua belah Lautan Atlantik mendominasi dunia dari segi ekonomi, politik dan ketenteraan. 

Justeru itu wacana dan penulisan pemikir-pemikir dan juga pimpinan politik dan sosial duaia Islam tertumpu dengan isu Islam and the West.

Marilah kita merumus strategi seluruh dunia Islam untuk berdepan dengan realiti baru ini. Keluar dari kepompong lama. Keluar dari tempurung buatan kita sendiri.

Islam mencipta tamadun yang gemilang di zaman yang lalu kerana umat di zaman itu bersikap terbuka terhadap semua ilmu dari tamadun-tamadun besar dunia sebelum kedatangan Islam. Seperti yang diulas oleh Profesor Seyyed Hossein Nasr dalam Science and Civilization in Islam, Islam mengambil semua ilmu dan dipadukan dengan perspektif Tauhid.

Namun tamadun Islam mulai suram apabila umat Islam tidak lagi meraikan pemikiran. Untuk meminjam ungkapan Alan Bloom, berlaku the closing of the Muslim mind melalui penutupan pintu ijtihad iaitu berfikir secara kritis dan meninggalkan taqlid. Usaha pembangunan semula pemikiran Islam di masyarakat Melayu hanya dapat dilakukan dengan cara merancakkan wacana ilmu dan pemikiran, bukannya dengan amalan untuk memaksa orang bertaqlid dengan pemikiran yang sedia ada.

Binalah perspektif yang baharu bertunjangkan prinsip-prinsip Islam yang jelas membangunkan motivasi. Masyarakat hari ini dahagakan wacana yang positif untuk memecahkan pemikiran perkauman yang menjadi batu penghalang kepada kemajuan sosial dan ekonomi umat.

Kita harus diingatkan kembali kepada pandangan ahli sejarah terkenal Arnold Toynbee yang menegaskan tamadun manusia digugat oleh faham perkauman dan warna kulit. Dan beliau menegaskan kekuatan Islam adalah kerana ketiadaan aspek perkauman. Sepanjang tamadun Islam menghimpunkan semua budaya dan kepelbagaian, dan hal itu adalah satu sifat asasi.

Tamadun Islam sentiasa meraikan jamak budaya, kepelbagaian, dan kosmo-politanisme sebagai salah satu fitrah. Dalam konteks Malaysia, antara peranan penting intelektual Muslim adalah untuk membangun pemikiran politik berteraskan demokrasi. Kita sudah sampai di tahap wacana di mana kita tidak lagi memper-soalkan demokrasi kerana kononnya ia datang dari Barat.

Sewajarnya tidak muncul kekeliruan bahawa Demokrasi itu merupakan suatu yang bertentangan dengan Islam. Sungguhpun kitab fiqh, tawarikh mahupun kenegaraan tidak menyebut Demokrasi sebagai satu sistem yang baik dan wajib diamalkan oleh umat Islam, namun dari sudut rohnya, Islam tidak lah menolak sesuatu yang baik itu diamalkan oleh umatnya.

Inilah demokrasi dari pandangan Dr.Yusuf Qaradhawi, seorang tokoh ulama yang tersohor. Dr.Yusuf Qaradhawi telah mengupas persoalan intipati demokrasi {essence of democracy} dalam bukunya berjudul Fatawa Muasarah {Contemporary Fatwa}. 

Menurut Dr. Yusuf Qaradhawi, demokrasi adalah hak rakyat untuk memilih siapa yang harus memerintah dan mentadbirkan urusan mereka. Demokrasi juga bermakna hak rakyat untuk menolak pemerintah yang mereka tidak suka atau menolak aturan dan sistem yang mereka tidak suka. Demokrasi juga membawa maksud hak rakyat untuk menilai dan melakukan muhasabah apabila seseorang pemimpin itu bersalah dan hak rakyat untuk menurunkan pemerintahan apabila pemimpin menyimpang dari prinsip.

Tegas Dr Yusuf Qaradhawi, "Kalau itulah intipati demokrasi, di manakah konfliknya dengan ajaran Islam?".

Dalam perjuangan umat Islam menuju demokrasi, sejarah tidak akan melupakan peranan gerakan Islam untuk merealisasikan demokrasi. Setelah berdekad-dekad Turki berada di bawah pemerintahan autori-tarian sekular, kemudian demokrasi kembali bernafas di negara itu oleh gerakan Islam melalui Parti Pembangunan dan Keadilan, AK Party (ADALET VE KALKINMA PARTiSi).

Dalam sejarah Indonesia, majlis Syura Muslimin Indonesia (MASYUMI) yang dipimpin oleh Muhammad Natsir menjadi tunggak kepada demokrasi perlembagaan {Constitutional Democracy} manakala yang menghancurkan demokrasi tersebut adalah golongan nasionalis sekular yang dipimpin oleh Sukarno ketika rakyat Indonesia bangun semula untuk mengguling-kan kediktatoran Suharto, parti-parti Islam menjadi pemangkin kepada demokrasi hijau yang terbesar di dunia.

Baru-baru ini kita menyaksikan bagaimana rakyat Tunisia dan Mesir bangkit menuntut kebebasan dan demokrasi. Pemimpin seperti Zainal Abedine Ali dan Hosni Mubarak memerintah dengan kuku besi berdekad-dekad lamanya. Antara sasaran utama tekanan rejim Ben Ali dan Mubarak adalah gerakan Islam. 

Sejak beberapa dekad yang lalu gerakan Islam khususnya Ikhwanul Muslimin merupakan kumpulan yang paling konsisten menentang rejim kuku besi di dunia Arab dan Afrika Utara. Gerakan Islam adalah bahagian integral dari perjuangan demokrasi.

Sehingga ke hari ini, saya yakin gerakan Islam mampu memainkan peranan penting dalam transisi dunia Arab menuju demokrasi serta mencetuskan gelombang baru pendemokrasian di benua Asia. Di sini kita menyaksikan sikap tidak tuntas Amerika terhadap demokrasi. Tatkala masyarakat demokrasi dunia mengangkat inklusiviti sebagai unsur utama demokrasi, Amerika menolak demokrasi sekiranya ia dipimpin oleh Ikhwanul Muslimin. Ini kerana perjuangan gerakan Islam untuk membangun demokrasi adalah didorong oleh semangat untuk memartabatkan kemuliaan insan, bukannya atas semangat keta'assuban.

Click to comment